Novel Bini Aku Tomboy Ke? merupakan karya daripada Arisa Eriza. Novel ini menceritakan tentang kisah hidup seorang perempuan yang bernama Zack atau nama sebenarnya ialah Sofi Zarill Muhammad. Dia merupakan seoarang perempuan yang suka berpenampilan seperti seorang lelaki, berambut pendek, berpakaian t-shirt, berseluar jean, dan bertopi. Dia pernah menjadi kegilaan kawan rumahnya, iaitu Sabariah dan Arin, iaitu pembantu rumah. Perwatakan Zack ini adalah sangat ego kerana dia tidak kisah akan teguran ke atasnya disebabkan oleh penampilannya seperti seorang lelaki. Zack telah pergi ke Kuala Lumpur dan bekerja sebagai pelayan di sebuah kedai makan di tengah-tengah Bandaraya Kuala Lumpur sehinggalah dia berjumpa dengan seorang lelaki yang bernama Azim. Azim merupakan seorang lelaki yang bersifat kasanova dan tersohor dengan ayatnya yang menggoda para wanita. Akhirnya, Zack dan Azim berkahwin sehinggalah melahirkan dua orang anak, iaitu anak perempuan dan lelaki.
Watak dan perwatakan yang cuba ditonjolkan oleh penulis dalam Novel Bini Aku Tomboy Ke? adalah sangat tidak sesuai dengan watak dan perwatakan seorang perempuan dan lelaki. Perwatakan Zack yang bersifat ganas atau tomboy dan berpakaian seperti seorang lelaki tidak mencerminkan kejelitaan seorang perempuan. Seorang perempuan mestilah bersifat ayu dan lemah-lembut perwatakannya. Selain itu, perwatakan yang ditonjolkan dalam diri Azim juga tidak mencerminkan seorang lelaki yang berwibawa dan akhlak yang baik. Perwatakan watak Azim ditonjolkan dengan sifat kasanova dan ini telah mencemarkan sifat sebenar seorang lelaki kerana sifat dan akhlak seorang lelaki sepatutnya menjadi contoh kepada pembaca terutamanya golongan lelaki. Perwatakan Zack dan Azim ini tidak perlu direka dan ditonjolkan dalam novel tersebut. Hal ini akan memberi kesan dan pengaruh yang buruk kepada pembaca terutamanya golongan muda.
Oleh itu, sebagai seorang penulis novel perlulah menceritakan dan menonjolkan perwatakan seorang watak yang mempunyai akhlak yang baik dan berpenampilan seperti seorang wanita muslimah dan seorang lelaki yang mempunyai sifat dari sudut agama. Hal ini kerana pembaca dapat mengikuti dan mengambil contoh perwatakan dalam novel sebagai salah satu sifat yang perlu pembaca ikuti.
No comments:
Post a Comment