Malaysia merupakan sebuah negara majmuk, iaitu mempunyai pelbagai bangsa, agama, budaya dan bahasa. Sesebuah bangsa sesuatu negara menjadi salah satu penyatuan bangsa yang pelbagai. Namun, adakah bahasa kebangsaan negara kita digunakan oleh masyarakat majmuk ini sebagai alat komunikasi? Jawapan ini boleh dikatakan Ya, dan juga boleh dikatakan Tidak! Sepatutnya bahasa kebangsaan menjadi lambang alat pemersatu antara kaum dan bahasa Melayu mesti ditutur dalam masyarkat yang pelbagai. Hal ini demikian kerana rakyat Malaysia yang berbangsa lain sering tidak menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa utama bahkan lebih menggemari menggunakan bahasa Inggeris ataupun bahasa ibunda mereka. Hal ini telah menyebabkan kesan dari segi halangan untuk berbicara antara rakyat Malaysia yang pelbagai kaum dan budaya di Malaysia.
Hal ini boleh dibuktikan dengan adanya sistem sekolah vernakular dan ini telah menyebabkan bangsa lain seperti Cina, India dan etnik lain tidak mampu bertutur dalam bahasa Melayu dengan baiknya. Hal ini terjadi kerana pemisahan antara kaum dan mereka hanya berbicara dengan bangsanya sendiri dengan menggunakan bahasa ibunda mereka. Selain itu, anak Melayu juga diajar untuk berbicara dalam bahasa Inggeris sejak kecil lagi. Hal ini berlaku kerana bahasa Inggeris dipandang tinggi oleh masyarakat, namun bahasa kebangsaan sendiri dipinggirkan dan dibuat endah tidak endah. Hal ini dibuktikan oleh seorang perempuan berbangsa Cina yang tidak tahu berbahasa Melayu semasa dia hendak memperbaharui passportnya di UTC, Johor. Namun, dia menyalahkan pihak bertugas kerana mengendahkannya kerana tidak berbahasa Melayu dan kelakuannya telah mengundang kemarahan masyarakat Malaysia. Inikah jiwa rakyat Malaysia yang tinggal di Tanah Melayu dan mengaku sebagai rakyat Malaysia? Sedangkan langsung tidak tahu berbicara dalam bahasa kebangsaan sendiri. Malu dan malu jika orang Malaysia sendiri tidak fasih berbahasa Melayu!! Jadilah seperti Prof Emeritus Datuk Teo Kok Seong yang dikenali sebagai pejuang bahasa Melayu sehingga dikatakan "Lebih Melayu daripada Melayu" oleh masyarakat di negara kita. Walaupun beliau merupakan seorang berbangsa Cina, namun semangatnya dalam memartabatkan bahasa kebangsaan tidak pernah luntur. Bahasa Melayu juga sering dikaitkan dengan sastera dan budaya sesebuah bangsa dan negara. Jika bangsa lain berjaya mengadaptasikan bahasa Melayu dalam diri mereka dan ini akan menyebabkan mereka mempelajari budaya dan sastera Melayu kerana bahasa Melayu berkait rapat dengan sastera dan budaya bangsa Melayu.
Namun, kini generasi muda tidak kira Melayu, Cina, India dan etnik-etnik lain tidak cenderung untuk menceburi bidang sastera dan budaya. Perdana Menteri kita, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah meluahkan rasa bimbang terhadap generasi muda yang tidak lagi dilihat menceburi dalam bidang sastera, seni, dan budaya. Sepatutnya generasi muda perlu melibatkan diri dalam dunia tersebut bagi memartabatkan sastera, bahasa, dan budaya kita. Kejayaan memartabat bahasa kebangsaan kita mahupun budaya kita akan mampu membentuk individu yang berjiwa dan ketamadunan tinggi. Oleh itu, kerajaan juga perlu memperkasakan lagi jurang sastera, bahasa, dan budaya dalam masyarakat majmuk di peringkat sekolah mahupun pengajian tinggi agar semangat dalam berkomunikasi dalam bahasa kebangsaan dapat diterapkan oleh masyarakat yang pelbagai bangsa, bahasa, agama dan budaya di negara kita.
No comments:
Post a Comment