Telah datang angin kemerdekaan
Melambai tanah air berlagu sentosa
Telah gemilang sumpah kerelaan
Membelai bangsa sepanjang usia.
Setiap menjelang kemerdekaan ini
Bergemalah di hati anak peribumi
Sejahtera bangsa menggenggam kemenangan
Keramat bangsa menentang keagungan.
Kemerdekaan, di sini bumi beningmu dipijak
Di sini langit jernihmu dijunjung
Cinta kasih tiadakan retak
Meski debar sengketa melanda jantung.
Tanah air tercinta hamparan setia
Kamilah kini pewaris kemerdekaan
Seluhur suara seteguh cita
Menjunjung bakti mahkota kedaulatan.
Di atas merupakan sajak Di Titian Kemerdekaan, iaitu hasil karya Dharmawijaya atau nama sebenarnya ialah Kamaruzzaman bin Abdul Kadir. Beliau merupakan seorang penulis novel dan pengkaji kesusasteraan Melayu di Malaysia. Beliau telah menghasilkan sajak ini sebagai semangat cintakan tanah air ketika sambutan Hari Kemerdekaan. Setiap rangkap sajak ini mempunyai maksud yang tersendiri dan beliau menggunakan pelbagai kata-kata diksi, gaya bahasa dan nilai estetika pada setiap baris sajak. Antara gaya bahasa yang sering digunakan dalam sajak Di Titian Kemerdekaan ini ialah gaya bahasa asonansi dan aliterasi. Asonansi merupakan perulangan bunyi vokal dalam sesuatu baris sajak seperti perulangan bunyi vokal [a] pada bait pertama rangkap pertama sajak ini. Fungsi asonansi dalam sajak adalah untuk menimbulkan kemerduan, kelembutan, dan keindahan bunyi. Seterusnya, aliterasi pula merupakan perulangan bunyi konsonan dalam sesuatu baris sajak seperti perulangan bunyi konsonanan [n] pada bait ketiga rangkap kedua sajak ini. Fungsi aliterasi adalah untuk menimbulkan kemerduan, kelembutan, dan keindahan bunyi.
Maksud rangkap pertama sajak ini ialah semangat sambutan Hari Kemerdekaan mula dirasai oleh setiap warganegara yang cintakan tanah air. Kemerdekaan yang diperoleh ini ialah hasil daripada perjuangan yang ikhlas para pejuang terdahulu yang membebaskan negara kita, Malaysia sehinggalah mencapai kemerdekaan. Selain itu, terdapat penggunaan gaya bahasa pada baris pertama dan kedua dalam rangkap pertama sajak ini:
Telah datang angin kemerdekaan
- Bait ini memperlihatkan gaya bahasa inversi, iaitu membawa maksud pembalikan susunan kata dalam bait ini.
Melambai tanah air berlagu sentosa
- Bait ini memperlihatkan gaya bahasa personifikasi, yang membawa maksud perlambangan sifat-sifat manusia yang diberikan kepada benda yang tidak bernyawa atau bersifat abstrak.
Selain itu, maksud rangkap kedua sajak ini ialah apabila menjelangnya sambutan Hari Kemerdekaan, semangatnya mula dirasai oleh setiap warganegara. Kemerdekaan yang dicapai telah membolehkan setiap warganegara hidup dalam keadaan yang selesa. Semuanya telah dicapai menerusi perjuangan para pejuang menentang penjajah.
Seterusnya, maksud rangkap ketiga sajak ini pula ialah kebebasan yang dicapai seharusnya menyedarkan setiap warganegara erti kesetiaan dan ketaatan kepada negara kita, Malaysia tanpa berbelah bagi. Walaupun sering diancam dengan perselisihan faham yang boleh menggugat keamanan negara, namun semangat nasionalisme tidak pernah luntur.
Akhir sekali, maksud rangkap terakhir sajak Di Titian Kemerdekaan ini ialah negara kita menuntut setiap warganegara mempunyai kesetiaan yang tidak berbelah bagi pada negara tercinta. Hal ini kerana generasi kini ialah pewaris kebebasan yang diraih dan seharusnya generasi muda pada hari ini perlu menanam azam dan tekad untuk sentiasa menabur jasa demi untuk menjamin maruah negara yang tercinta. Selain itu, terdapat penggunaan gaya bahasa pada baris pertama dan keempat dalam rangkap keempat sajak ini:
Tanah air tercinta hamparan setia
- Bait ini memperlihatkan gaya bahasa metafora, iaitu merupakan gaya bahasa kiasan atau perbandingan yang membawa maksud lain daripada makna biasa atau makna sebenar perkataan itu.
Menjunjung bakti mahkota kedaulatan
- Bait ini memperlihatkan gaya bahasa perlambangan, iaitu membawa maksud berlainan atau makna tertentu.
Oleh itu, setiap rakyat Malaysia perlu cintakan tanah air sebagaimana yang dilakukan oleh para perwira terdahulu yang sanggup membebaskan tanah air demi maruah bangsa, agama, dan negara tercinta. Tanpa mereka tidaklah wujud negara Malaysia yang penuh dengan keamanan dan kedaulatan. Kini, generasi muda perlu memberi taat setia kepada negara ini kerana mereka ialah pewaris kebebasan negara tercinta, Malaysia ini.

No comments:
Post a Comment