Jaket Kulit Kijang dari Istanbul merupakan sebuah antologi teks "komponen sastera" atau kata akronimnya, iaitu KOMSAS. Komsas merupakan komponen dalam subjek bahasa Melayu yang diperkenalkan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia kepada pelajar Tingkatan 1 hingga 5 di semua sekolah menengah. Jaket Kulit Kijang dari Istanbul ini dihasilkan oleh seorang penulis yang berbakat dalam penulisan karya kreatif, iaitu Maskiah Haji Masrom. Beliau merupakan seorang penulis yang berasal dari Batu Pahat, Johor dan pensyarah di salah sebuah kampus di Malaysia. Beliau telah menghasilkan pelbagai karya kesusasteraan lain seperti penulisan Novel Nyanyi Sunyi dan Jalan Seribu Liku.
Cerpen Jaket Kulit Kijang dari Istanbul ini mengutarakan tema, iaitu seorang pelancong yang terjerat dengan pembelian jaket kulit kijang demi menjaga hati penjual jaket tersebut. Cerpen ini menceritakan tentang watak utama yang bernama "Aku", iaitu seorang wanita dan juga memperkenalkan dirinya sebagai "Mas". Watak Aku ini melancong ke negara Turki bersama rakan-rakannya. Aku ini merupakan seorang yang gemar membaca, baik, dan murah hati. Dia juga sayang akan haiwan. Aku dan rakan-rakannya berkunjung di sebuah Grand Bazaar, iaitu sebuah pusat beli belah yang mempunyai lebih 6,000 buah kedai. Di situ, terdapat kedai-kedai yang menjual pelbagai barangan untuk dijadikan cenderamata kepada ahli keluarga di Malaysia. Di sebuah kedai yang menjual jaket kulit, Aku terpaku dengan sepasang sarung tangan kulit bewarna hitam kerana membayangkan abangnya memakai sarung itu apabila menunggang motorsikal. Penjual Turki itu telah menarik Aku ke dalam kedai dan melayannya dengan penuh ramah. Penjual itu tidak putus asa melayan Aku dan memujuk untuk membeli jaket kulitnya. Aku telah menyarung jaket kulit itu akan tetapi terkejut dengan harga jaket yang terlalu mahal. Lalu, penjual Turki tersebut melepaskan amarahnya dengan kata-kata kesat kepada Aku kerana tidak ingin membeli jaket itu. Aku tidak membeli jaket itu disebabkan dia telah merancang perbelanjaan kewangannya sebelum bercuti di Istanbul.
Di Selat Bhosporus, terdapat seorang lelaki tua menghampiri Aku ketika beratur untuk menaiki feri. Lelaki tua itu berani meletakkan sehelai jaket kulit bewarna hitam di lengan Aku. Rakannya, iaitu Shahmeem telah menunjukkan minat untuk membeli jaket tersebut dengan harga AS$ 120, namun saiz jaket itu agak sedikit kecil untuk rakannya. Shahmeem telah menjual jaket itu kepada Aku dengan harga AS$100, namun jaket tersebut tidak sesuai jika dipakai di Malaysia kerana cuaca yang panas. Selain itu, Aku juga menggambarkan jaket kulit kijang itu merupakan satu lambang kemewahan dan kemegahan kerana lebih seekor kijang perlu dibunuh untuk mendapatkan sehelai jaket kulit kijang ini. Aku telah bercadang untuk menjual kembali jaket ini sesudah sampai di Malaysia dan akan mendermakan duit jualan jaket itu kepada mana-mana zoo yang mempunyai kandang kijang. Hal ini dilakukan oleh Aku untuk menunjukkan satu tanda muhibah terhadap kijang-kijang yang telah dibunuh oleh manusia demi mendapatkan jaket kulit kijang disebabkan gaya kemodenan manusia.
Di dalam cerpen Jaket Kulit Kijang dari Istanbul ini telah menunjukkan terdapatnya nilai dan pengajaran yang boleh kita terapkan dalam kehidupan sebagai manusia kerdil ciptaan Tuhan Maha Esa. Nilai prihatin dan kasih sayang terhadap pembunuhan haiwan seperti kijang bagi mendapatkan kulitnya untuk dijadikan sebagai jaket ini boleh diikuti oleh manusia sebagai terapan nilai dalam kehidupan kita. Kita juga perlu mengambil pengajaran di dalam cerpen ini seperti berjimat-cermat dan pandai merancang perbelanjaan kewangan dalam kehidupan kita supaya tidak boros dalam pembelian sesuatu. Oleh itu, cerpen Jaket Kulit Kijang dari Istanbul ini bukanlah hanya satu penceritaan tentang "kembara Mas" di Istanbul akan tetapi ia juga memberi nilai dan pengajaran yang perlu kita terapkan dalam kehidupan kita.
No comments:
Post a Comment