Wednesday, January 10, 2024

KERIS MAS: SASTERAWAN NEGARA

    Di Malaysia, terdapatnya 15 sasterawan negara dan Keris Mas merupakan salah satu daripada golongan tersebut. Keris Mas merupakan sasterawan negara pertama yang telah dinobatkan di Malaysia pada tahun 1981. Sasterawan Negara Malaysia ini merupakan salah satu anugerah yang diberikan kepada mereka yang menyumbang idea penulisan kreatif dalam bidang sastera Melayu di Malaysia. Anugerah Sastera Negara yang pertama telah diadakan pada tahun 1981 hasil gesaan bekas Perdana Menteri Malaysia, iaitu Tun Hussein Onn yang menginginkan sebuah hadiah sastera yang berprestij kepada penulis-penulis demi mengangkat martabat sastera di negara kita. Keris Mas atau nama  sebenarnya, iaitu (Dr) Kamaluddin Muhammad merupakan seorang wartawan, editor, pentadbir sastera, dan pengkritik di Malaysia. Beliau dilahirkan di Kampung Ketari, Bentong, Pahang. Beliau telah bersekolah di Sekolah Tawalib di Sumatera, iaitu sebuah sekolah menengah dengan pengantar bahasa Indonesia dan bahasa Arab. Selain itu, Keris Mas juga merupakan ahli aktif dalam Angkatan Sastera 50 atau dikenali sebagai "ASAS 50". Beliau telah menghasilkan banyak karya penulisan kreatif seperti cerpen, iaitu karya pertamanya berjudul "Wasiat Orang Bangsawan" dan tersiar dalam Suluh Malaya pada tahun 1946.

    Seterusnya, pada akhir tahun 1960, sebanyak 60 buah cerpen telah dihasilkan oleh beliau. Kini, cerpen-cerpennya itu telah dimuatkan dalam beberapa buah antologi seperti Mekar dan Segar. Tema dan persoalan yang sering diutarakan oleh Keris Mas dalam hasil karya cerpennya ialah berkaitan kepincangan masyarakat, perjuangan nasionalisme dan sebagainya. Terdapat sebuah novel beliau, iaitu Novel Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur telah diangkat sebagai buku dan rujukan kepada pelajar tingkatan enam yang mengambil Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia (STPM) dalam subjek Kesusasteraan Melayu Komunikatif (KMK). Novel Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur yang dihasilkan oleh Keris Mas ini mengutarakan tema tentang kemunculan usahawan-usahawan Melayu, sifat kemanusiaan terhadap masyarakat, soal pembangunan dan kemajuan dan sudut agama yang dibawa oleh generasi muda. Novel ini telah memberi pengajaran dan kesan yang baik kepada pelajar tingkatan enam untuk memahami setiap persoalan yang terdapat dalam novel tersebut seperti persoalan dari sudut ekonomi, agama, pendidikan dan sebagainya.

    Jelaslah bahawa karya Keris Mas ini bukanlah sebuah karya yang biasa untuk pembaca akan tetapi merupakan sebuah karya yang hebat dengan terselitnya unsur-unsur yang positif dari sudut penulisan, jalan cerita dan persoalan yang digunakan. Oleh itu, Keris Mas sememangnya layak dinobatkan sebagai Sasterawan Negara Pertama Malaysia atas usaha beliau menyumbang idea penulisan kreatif dan penglibatannya dalam dunia sastera Melayu.

No comments:

Post a Comment

BBK3410: PENGLAHIRAN BAKAT KREATIF

     Dunia sastera ialah bidang yang tidak asing lagi dalam masyarakat kita. Bidang sastera mengajar kita erti bagaimana penghasilan sebuah ...