Setiap bangsa dan negara mempunyai warisan dan budaya yang tersendiri. Permainan gasing sentiasa bermain di dalam fikiran masyarakat di negara kita terutamanya generasi tua. Namun, kebanyakan masyarakat tidak tahu akan permainan gasing uri. Permainan gasing uri ini cukup popular dalam masyarakat di Kelantan dan Terengganu tidak kira bangsa dan agama. Permainan gasing ini sering dijadikan wadah untuk masyarakat berinteraksi melalui pertandingan dan persembahan yang diadakan. Gasing uri ini mempunyai badan asas yang kecil dan dililiti dengan simpai. Gasing ini disimpai dengan menggunakan timah, besi ataupun plumbum. Selain itu, gasing uri ini juga mempunyai bentuk yang rendah dan agak leper dengan berat sekitar 3 kilogram. Gasing ini mempunyai lilitan sekitar 60 cm dengan ketinggian 8 cm. Gasing uri akan dimainkan oleh dua orang pemain atau secara berkumpulan.
Pada kebiasaannya, gasing uri ini akan dililit dengan tali dan dilemparkan ke atas bong. Bong merupakan tempat gasing untuk mendarat dan ia diperbuat daripada tanah liat yang dimampatkan. Ia berbentuk segi empat dengan saiz lebih kurang 2 kaki persegi. Selepas balingan gasing, gasing yang berpusing itu akan dipindahkan oleh jong, iaitu tukang cokok dan jong tersebut akan mencedok gasing dengan pantas, iaitu menggunakan pencedok daripada kayu dan terus diletakkan di atas lopok, iaitu tempat gasing berputar. Kumpulan yang mempunyai gasing paling lama berputar akan memenangi pertandingan tersebut dan kebiasaannya gasing uri akan berputar lebih kurang 2 jam pada paksinya. Permainan gasing uri ini perlu mempunyai pengalaman dan kemahiran tertentu dalam mengendalikan gasing ini. Oleh itu, generasi muda kini perlu mengambil satu langkah untuk mempelajari teknik mengendalikan gasing uri ini.
Namun, dengan perubahan masa dan zaman telah menyebabkan permainan tradisional ini semakin dilupakan terutamanya dalam golongan generasi muda. Gasing uri ini perlu diangkat menjadi warisan yang tidak akan putus dari turun ke temurun kerana ia merupakan permainan tradisional dan warisan budaya nenek moyang kita. Permainan gasing uri ini boleh diangkat menjadi tarikan pelancong luar bahkan tempatan supaya permainan ini tidak akan dipinggirkan oleh generasi kita.

No comments:
Post a Comment