Tuesday, January 16, 2024

BBK3410: PENGLAHIRAN BAKAT KREATIF


    Dunia sastera ialah bidang yang tidak asing lagi dalam masyarakat kita. Bidang sastera mengajar kita erti bagaimana penghasilan sebuah karya penulisan kreatif. Tidak kira penulisan puisi, sajak, pantun, cerpen dan drama. Itulah sebuah karya yang bermakna dengan penggunaan kata-kata yang indah dan mempunyai maksud tersendiri. Kursus BBK3410: Penglahiran Bakat Kreatif telah mengajar Aku tentang dunia sastera dan idea-idea dalam menghasilkan karya-karya agung. Idea-idea tersebut tidak akan tersemat dalam jiwaku kerana di sebalik kursus ini, ada seorang figura yang hebat dalam dunia sastera, iaitu Prof. Madya Dr, Kamariah Kamaruddin.

    Melalui kursus ini, Aku dapat menonjolkan bakat dari segi penulisan karya kreatif seperti sajak, pantun, cerpen dan novel. Prof. Madya Dr. Kamariah yang banyak memberi peluang kepada para pelajarnya untuk meluahkan apa yang tersirat dan terpendam dalam lubuk jiwa dan hati semasa mengikuti kursus ini. Beliau juga mengatakan bahawa jiwa ini berkait rapat dengan alam dan Aku berjaya menulis sebuah cerpen yang bertajuk Pohon Rindu: Bayang Seiring Angin. Cerpen ini menceritakan seorang pemuda yang kehilangan sahabatnya disebabkan oleh menghidapi penyakit leukemia dan alam menjadi salah satu inspirasi kepada penulisan ini, iaitu pohon Trembesi menjadi kenangan dan rindu kepada sahabatnya itu.

    Selain itu, beliau juga memberi peluang kepada pelajar-pelajarnya untuk membaca sajak dan cerpen tidak kira nukilan beliau sendiri mahupun penulis lain. Antara nukilan cerpen beliau, iaitu Di Bursa itu, Rindu Pun Menderu dan Ummi, Tunggu Saya Di Christchurch merupakan karya yang hebat dan enak dibaca serta mempunyai pengajaran yang tersendiri. Prof. Madya Dr. Kamariah Kamaruddin seorang figura yang bukanlah calang-calang orang, namun beliau merupakan seorang pensyarah yang berjiwa murni dan penulis yang hebat. Namanya, kehebatannya dan pengalamannya dalam dunia sastera ini menjadi inspirasi Aku untuk melangkah ke bidang sastera. Tiada kata-kata yang dapat Aku ucapkan kepada beliau, selain kata-kata "Terima kasih Doktor atas jasamu dalam mendidik Aku dan rakan-rakanku semasa mengikuti kursus ini".

Akhirulkalam, Assalamualaikum.

DI TITIAN KEMERDEKAAN


Dharmawijaya

Telah datang angin kemerdekaan
Melambai tanah air berlagu sentosa
Telah gemilang sumpah kerelaan
Membelai bangsa sepanjang usia.

Setiap menjelang kemerdekaan ini
Bergemalah di hati anak peribumi
Sejahtera bangsa menggenggam kemenangan
Keramat bangsa menentang keagungan.

Kemerdekaan, di sini bumi beningmu dipijak
Di sini langit jernihmu dijunjung
Cinta kasih tiadakan retak
Meski debar sengketa melanda jantung.

Tanah air tercinta hamparan setia
Kamilah kini pewaris kemerdekaan
Seluhur suara seteguh cita
Menjunjung bakti mahkota kedaulatan.

    Di atas merupakan sajak Di Titian Kemerdekaan, iaitu hasil karya Dharmawijaya atau nama sebenarnya ialah Kamaruzzaman bin Abdul Kadir. Beliau merupakan seorang penulis novel dan pengkaji kesusasteraan Melayu di Malaysia. Beliau telah menghasilkan sajak ini sebagai semangat cintakan tanah air ketika sambutan Hari Kemerdekaan. Setiap rangkap sajak ini mempunyai maksud yang tersendiri dan beliau menggunakan pelbagai kata-kata diksi, gaya bahasa dan  nilai estetika pada setiap baris sajak. Antara gaya bahasa yang sering digunakan dalam sajak Di Titian Kemerdekaan ini ialah gaya bahasa asonansi dan aliterasi. Asonansi merupakan perulangan bunyi vokal dalam sesuatu baris sajak seperti perulangan bunyi vokal [a] pada bait pertama rangkap pertama sajak ini. Fungsi asonansi dalam sajak adalah untuk menimbulkan kemerduan, kelembutan, dan keindahan bunyi. Seterusnya, aliterasi pula merupakan perulangan bunyi konsonan dalam sesuatu baris sajak seperti perulangan bunyi konsonanan [n] pada bait ketiga rangkap kedua sajak ini. Fungsi aliterasi adalah untuk menimbulkan kemerduan, kelembutan, dan keindahan bunyi.

    Maksud rangkap pertama sajak ini ialah semangat sambutan Hari Kemerdekaan mula dirasai oleh setiap warganegara yang cintakan tanah air. Kemerdekaan yang diperoleh ini ialah hasil daripada perjuangan yang ikhlas para pejuang terdahulu yang membebaskan negara kita, Malaysia sehinggalah mencapai kemerdekaan. Selain itu, terdapat penggunaan gaya bahasa pada baris pertama dan kedua dalam rangkap pertama sajak ini:

Telah datang angin kemerdekaan
  • Bait ini memperlihatkan gaya bahasa inversi, iaitu membawa maksud pembalikan susunan kata dalam bait ini.
Melambai tanah air berlagu sentosa
  • Bait ini memperlihatkan gaya bahasa personifikasi, yang membawa maksud perlambangan sifat-sifat manusia yang diberikan kepada benda yang tidak bernyawa atau bersifat abstrak.
    Selain itu, maksud rangkap kedua sajak ini ialah apabila menjelangnya sambutan Hari Kemerdekaan, semangatnya mula dirasai oleh setiap warganegara. Kemerdekaan yang dicapai telah membolehkan setiap warganegara hidup dalam keadaan yang selesa. Semuanya telah dicapai menerusi perjuangan para pejuang menentang penjajah.

  Seterusnya, maksud rangkap ketiga sajak ini pula ialah kebebasan yang dicapai seharusnya menyedarkan setiap warganegara erti kesetiaan dan ketaatan kepada negara kita, Malaysia tanpa berbelah bagi. Walaupun sering diancam dengan perselisihan faham yang boleh menggugat keamanan negara, namun semangat nasionalisme tidak pernah luntur.

    Akhir sekali, maksud rangkap terakhir sajak Di Titian Kemerdekaan ini ialah negara kita menuntut setiap warganegara mempunyai kesetiaan yang tidak berbelah bagi pada negara tercinta. Hal ini kerana generasi kini ialah pewaris kebebasan yang diraih dan seharusnya generasi muda pada hari ini perlu menanam azam dan tekad untuk sentiasa menabur jasa demi untuk menjamin maruah negara yang tercinta.  Selain itu, terdapat penggunaan gaya bahasa pada baris pertama dan keempat dalam rangkap keempat sajak ini:

Tanah air tercinta hamparan setia
  • Bait ini memperlihatkan gaya bahasa metafora, iaitu merupakan gaya bahasa kiasan atau perbandingan yang membawa maksud lain daripada makna biasa atau makna sebenar perkataan itu.
Menjunjung bakti mahkota kedaulatan
  • Bait ini memperlihatkan gaya bahasa perlambangan, iaitu membawa maksud berlainan atau makna tertentu.
    Oleh itu, setiap rakyat Malaysia perlu cintakan tanah air sebagaimana yang dilakukan oleh para perwira terdahulu yang sanggup membebaskan tanah air demi maruah bangsa, agama, dan negara tercinta. Tanpa mereka tidaklah wujud negara Malaysia yang penuh dengan keamanan dan kedaulatan. Kini, generasi muda perlu memberi taat setia kepada negara ini kerana mereka ialah pewaris kebebasan negara tercinta, Malaysia ini.
 

SAINT PETERSBURG, TUNGGU AKU DATANG!


приветHello

    Fuh!! Cantiknya bumi di kutub utara dunia ini. Menghadap Teluk Finskiy yang indah dengan air laut yang bergelora dari Laut Baltik. Mungkin ramai orang di luar sana tidak pernah mendengar nama Saint Petersburg. Walaupun namanya tidak semegah Paris, New York, dan Seoul, namun namanya tetap dalam senarai kunjungan Aku pada suatu hari nanti. Indah pemandangan pada waktu salju, dengan cahaya-cahaya menyinari yang terpancar dari bangunan-bangunan di situ membuatkan Aku tidak sabar untuk melangkah kaki ke sana. Insyaallah! Saint Petersburg atau nama lainnya, iaitu Petrograd dan Leningrad merupakan bandar raya kedua terbesar di utara negara Rusia. Bandar ini dinamakan sempena pengasasnya, iaitu Tsar Peter I dan menjadikan St. petersburg sebagai ibu negara Empayar Rusia pada ketika dahulu. Selepas Revolusi Rusia 1918, ibu negara  baharu Kesatuan Soviet dipindahkan ke Moscow. Kota St. Petersburg merupakan pusat pemerintahan Oblast Leningrad dan terletak di tepi Sungai Neva dan Teluk Finskiy. Di kota ini, mempunyai tempat-tempat bersejarah dan menarik, namun Aku hanya mampu memandang melalui carian di internet. Tapi, Insyaallah pada suatu masa nanti Aku juga mampu merasai dan memandang Kota St. Petersburg yang begitu nian indah sekali. Antara tempat yang menarik di kota St. Petersburg ialah Muzium Hermitage yang terpapar gambar bangunannya di atas halaman ini. Cantik dan megah bangunan muzium itu. Muzium ini kaya dengan pelbagai koleksi lukisan, patung, dan permaidani dari seluruh dunia.


    Selain itu, The Bronze Horseman atau Patung TsarPeter yang Agung menjadi tarikan pelancong kerana ia merupakan salah satu ikon utama di kota Saint Petersburg ini. Tugu ini menggambarkan Raja Peter the Great menunggang kuda di tepi tebing dan kudanya telah memijak seekor ular, iaitu simbolik kepada musuh Rusia.

                                                                                     
    Seterusnya, Terusan St. Petersburg atau dikenali sebagai "Venice of the North" kerana kota Saint Petersburg ini menjadi pelabuhan penting di hemisfera utara. Peterhof Palace juga merupakan tempat menarik yang perlu dikunjungi kerana di sini dilengkapi dengan binaan pancutan air. Peterhof dikenali dengan nama "Versailles of Rusia" disebabkan oleh ilham pembinaan istana ini selepas lawatan Peter the Great ke Versailles, Perancis. Peterhof Palace merupakan istana musim panas keluarga diraja Rusia.


        Akhir sekali, tempat menarik di Rusia ialah Church of the Savior on Spilled Blood. Gereja ini mempunyai corak bangunan yang cantik dan warna-warni. Gereja ini dibina sebagai memperingati peristiwa Raja Alexander II yang cedera parah diserang oleh pihak fahaman atau falsafah ke atas monarki itu. Seni bina gereja ini menyerupai St. Basil's Cathedral di Moscow.

    Tidak bermakna jika Aku tidak mengunjungi tempat-tempat tersebut di Kota Saint Petersburg yang memukau Aku dengan sejarah, kebudayaan, dan seni bina yang cantik. Aku berharap suatu masa nanti kakiku ini dapat melangkah ke bumi hemisfera utara itu. Aku tidak sabar menunggu pengalaman berada di Kota Saint Petersburg.
 

KRITIKAN NOVEL BINI AKU TOMBOY KE?


    Novel Bini Aku Tomboy Ke? merupakan karya daripada Arisa Eriza. Novel ini menceritakan tentang kisah hidup seorang perempuan yang bernama Zack atau nama sebenarnya ialah Sofi Zarill Muhammad. Dia merupakan seoarang perempuan yang suka berpenampilan seperti seorang lelaki, berambut pendek, berpakaian t-shirt, berseluar jean, dan bertopi. Dia pernah menjadi kegilaan kawan rumahnya, iaitu Sabariah dan Arin, iaitu pembantu rumah. Perwatakan Zack ini adalah sangat ego kerana dia tidak kisah akan teguran ke atasnya disebabkan oleh penampilannya seperti seorang lelaki. Zack telah pergi ke Kuala Lumpur dan bekerja sebagai pelayan di sebuah kedai makan di tengah-tengah Bandaraya Kuala Lumpur sehinggalah dia berjumpa dengan seorang lelaki yang bernama Azim. Azim merupakan seorang lelaki yang bersifat kasanova dan tersohor dengan ayatnya yang menggoda para wanita. Akhirnya, Zack dan Azim berkahwin sehinggalah melahirkan dua orang anak, iaitu anak perempuan dan lelaki.

    Watak dan perwatakan yang cuba ditonjolkan oleh penulis dalam Novel Bini Aku Tomboy Ke? adalah sangat tidak sesuai dengan watak dan perwatakan seorang perempuan dan lelaki. Perwatakan Zack yang bersifat ganas atau tomboy dan berpakaian seperti seorang lelaki tidak mencerminkan kejelitaan seorang perempuan. Seorang perempuan mestilah bersifat ayu dan lemah-lembut perwatakannya. Selain itu, perwatakan yang ditonjolkan dalam diri Azim juga tidak mencerminkan seorang lelaki yang berwibawa dan akhlak yang baik. Perwatakan watak Azim ditonjolkan dengan sifat kasanova dan ini telah mencemarkan sifat sebenar seorang lelaki kerana sifat dan akhlak seorang lelaki sepatutnya menjadi contoh kepada pembaca terutamanya golongan lelaki. Perwatakan Zack dan Azim ini tidak perlu direka dan ditonjolkan dalam novel tersebut. Hal ini akan memberi kesan dan pengaruh yang buruk kepada pembaca terutamanya golongan muda.

    Oleh itu, sebagai seorang penulis novel perlulah menceritakan dan menonjolkan perwatakan seorang watak yang mempunyai akhlak yang baik dan berpenampilan seperti seorang wanita muslimah dan seorang lelaki yang mempunyai sifat dari sudut agama. Hal ini kerana pembaca dapat mengikuti dan mengambil contoh perwatakan dalam novel sebagai salah satu sifat yang perlu pembaca ikuti.  

JURANG SASTERA, BAHASA, DAN BUDAYA DALAM MASYARAKAT, FAKTOR KERUNTUHAN TAMADUN !!

    
    Malaysia merupakan sebuah negara majmuk, iaitu mempunyai pelbagai bangsa, agama, budaya dan bahasa. Sesebuah bangsa sesuatu negara menjadi salah satu penyatuan bangsa yang pelbagai. Namun, adakah bahasa kebangsaan negara kita digunakan oleh masyarakat majmuk ini sebagai alat komunikasi? Jawapan ini boleh dikatakan Ya, dan juga boleh dikatakan Tidak! Sepatutnya bahasa kebangsaan menjadi lambang alat pemersatu antara kaum dan bahasa Melayu mesti ditutur dalam masyarkat yang pelbagai. Hal ini demikian kerana rakyat Malaysia yang berbangsa lain sering tidak menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa utama bahkan lebih menggemari menggunakan bahasa Inggeris ataupun bahasa ibunda mereka. Hal ini telah menyebabkan kesan dari segi halangan untuk berbicara antara rakyat Malaysia yang pelbagai kaum dan budaya di Malaysia.

    Hal ini boleh dibuktikan dengan adanya sistem sekolah vernakular dan ini telah menyebabkan bangsa lain seperti Cina, India dan etnik lain tidak mampu bertutur dalam bahasa Melayu dengan baiknya. Hal ini terjadi kerana pemisahan antara kaum dan mereka hanya berbicara dengan bangsanya sendiri dengan menggunakan bahasa ibunda mereka. Selain itu, anak Melayu juga diajar untuk berbicara dalam bahasa Inggeris sejak kecil lagi. Hal ini berlaku kerana bahasa Inggeris dipandang tinggi oleh masyarakat, namun bahasa kebangsaan sendiri dipinggirkan dan dibuat endah tidak endah. Hal ini dibuktikan oleh seorang perempuan berbangsa Cina yang tidak tahu berbahasa Melayu semasa dia hendak memperbaharui passportnya di UTC, Johor. Namun, dia menyalahkan pihak bertugas kerana mengendahkannya kerana tidak berbahasa Melayu dan kelakuannya telah mengundang kemarahan masyarakat Malaysia. Inikah jiwa rakyat Malaysia yang tinggal di Tanah Melayu dan mengaku sebagai rakyat Malaysia? Sedangkan langsung tidak tahu berbicara dalam bahasa kebangsaan sendiri. Malu dan malu jika orang Malaysia sendiri tidak fasih berbahasa Melayu!! Jadilah seperti Prof Emeritus Datuk Teo Kok Seong yang dikenali sebagai pejuang bahasa Melayu sehingga dikatakan "Lebih Melayu daripada Melayu" oleh masyarakat di negara kita. Walaupun beliau merupakan seorang berbangsa Cina, namun semangatnya dalam memartabatkan bahasa kebangsaan tidak pernah luntur. Bahasa Melayu juga sering dikaitkan dengan sastera dan budaya sesebuah bangsa dan negara. Jika bangsa lain berjaya mengadaptasikan bahasa Melayu dalam diri mereka dan ini akan menyebabkan mereka mempelajari budaya dan sastera Melayu kerana bahasa Melayu berkait rapat dengan sastera dan budaya bangsa Melayu.

    Namun, kini generasi muda tidak kira Melayu, Cina, India dan etnik-etnik lain tidak cenderung untuk menceburi bidang sastera dan budaya. Perdana Menteri kita, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah meluahkan rasa bimbang terhadap generasi muda yang tidak lagi dilihat menceburi dalam bidang sastera, seni, dan budaya. Sepatutnya generasi muda perlu melibatkan diri dalam dunia tersebut bagi memartabatkan sastera, bahasa, dan budaya kita. Kejayaan memartabat bahasa kebangsaan kita mahupun budaya kita akan mampu membentuk individu yang berjiwa dan ketamadunan tinggi. Oleh itu, kerajaan juga perlu memperkasakan lagi jurang sastera, bahasa, dan budaya dalam masyarakat majmuk di peringkat sekolah mahupun pengajian tinggi agar semangat dalam berkomunikasi dalam bahasa kebangsaan dapat diterapkan oleh masyarakat yang pelbagai bangsa, bahasa, agama dan budaya di negara kita.

ISU SEMASA: AFRIKA SELATAN DAKWA ISRAEL DI ICJ


    Pada bulan Oktober 2023, berlakunya konflik antara Israel-Palestin dengan serangan mengejut daripada kedua-dua pihak yang bertindak balas antara satu sama lain. Pejuang kemerdekaan Palestin telah melancarkan serangan roket ke atas tanah yang dijajah oleh Israel dari Genting Gaza, namun Israel telah melancarkan serangan darat ke atas Gaza pada akhir bulan Oktober. Serangan ini bukannya berlaku pada tahun 2023 akan tetapi telah berlarutan dari tahun 1948 kerana pihak zionis ini telah mendirikan negara secara haram di tanah penduduk Palestin. Hal ini berlakunya peristiwa Nakba pada tahun 1948 dan telah menyebabkan 750,000 rakyat Palestin diusir dari tanah mereka sendiri. Ramai penduduk Palestin kehilangan ahli keluarga, ibu, bapa, anak dan sebagainya kerana diusir, dibom, dimusnahkan dalam sekelip mata sahaja. Namun, kuasa-kuasa besar dan masyarakat dunia memandang remeh terhadap peristiwa ini walaupun berlakunya pembunuhan secara beramai-ramai terutamanya orang Islam di Semenanjung Gaza.

    Setelah sekian lama peperangan antara Israel-Palestin, negara Afrika Selatan telah mendakwa dan melakukan prosiding ke atas Israel kerana melakukan pembunuhan secara beramai-ramai ke atas penduduk di Semenanjung Gaza. Prosiding ini dimulakan pada 29 Disember 2023 di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague dan menyifatkan Israel telah melanggar Konvensyen Genosid ke atas penduduk Semenanjung Gaza. Pembicaraan ini telah membuka banyak mata penduduk dunia sehingga ramai masyarakat dunia memberi sokongan tidak kira latar belakang agama, bangsa mahupun negara ke atas Afrika Selatan dalam mendakwa Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). Negara-negara luar seperti Malaysia , Arab Saudi, Iran, Bolivia, Namibia dan lain-lain lagi telah menyuarakan sokongan mereka terhadap kes itu pada 30 Disember. Negara-negara tersebut turut membantu dari segi memberikan bukti akan kekejaman Israel ke atas 23,000 rakyat Palestin dan berusaha untuk meminta menghentikan serangan ke atas Semenanjung Gaza. Pendakwaan Afrika Selatan ke atas Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa telah menunjukkan kehebatannya sebagai sebuah negara yang berwibawa dalam memerangi pembunuhan secara beramai-ramai dan ini telah menonjolkan kepewiraan Afrika Selatan seperti ketika dahulu semasa ditadbir oleh Nelson Mandela yang merupakan seorang presiden yang mengangkat kedudukan bangsa kulit hitam bahkan memerangi genosid kaum.

    Oleh itu, semua masyarakat di dunia ini terutamanya umat Islam perlu bersama-sama memerangi dan memberi sokongan kepada Afrika Selatan terhadap pembunuhan dan kezaliman yang dilakukan oleh Israel ke atas penduduk Palestin, iaitu di Semenajung Gaza. Tanpa kita dalam memberi dan menghulurkan pertolongan, teriakan mereka tidak akan didengari oleh sesiapa pun di dunia ini kecuali Allah SWT kerana suara-suara mereka telah ditutup oleh Zionis, Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Sunday, January 14, 2024

KRITIKAN DRAMA SYURGAMU RAMADHAN


    Drama Syurgamu Ramadhan merupakan sebuah siri drama televisyen Malaysia pada tahun 2010. Drama bersiri ini merupakan arahan daripada pengarah popular, iaitu Sharulezad Mohameddin. Drama ini merupakan drama yang bertemakan Ramadan dan disiarkan di Slot Samarinda di TV3 pada bulan puasa. Drama bersiri ini berjaya mengundang kebencian, kesedihan dan kepuasan ketika menonton drama Syurgamu Ramadhan. Drama ini menceritakan tentang seorang ibu yang bekerjaya dan kaya-raya, iaitu Datuk Halimatun yang dilakonkan oleh Ellie Suriati dan watak ini telah berputus arang dengan anaknya, iaitu Marlia yang dilakonkan oleh Eira Syazira. Watak Marlia telah berkahwin secara lari dengan seorang lelaki yang tidak sedarjat dengan keluarganya dan menyebabkan Datuk Halimatun membenci Marlia selama 16 tahun. Datuk Halimatun menganggap anaknya itu sudah mati dan bukan anaknya lagi. Namun, watak anak lelaki Datuk Halimatun, iaitu Yassin yang dilakonkan oleh Ungku Ismail Aziz telah bersusah payah mencari kakak kandungnya itu di merata-rata tempat sehingga lah dia bertemu dengan lima orang anak saudaranya, iaitu anak kepada kakaknya, Marlia. Kehadiran cucu-cucu Datuk Halimatun itu tidak disukai oleh ibu Marlia dan Suzanna, iaitu isteri kepada Yassin. Suzanna sering membuli anak saudaranya itu sehinggalah Datuk Halimatun mengakui lima adik-beradik itu sebagai cucu kepadanya dan anak Marlia.

    Walaupun drama Syurgamu Ramadhan ini menonjolkan pengajaran, namun terdapat babak-babak yang tidak sepatutnya ditonjolkan oleh seorang Muslim. Watak Suzanna yang berperwatakan tidak menghormati sesiapa pun bahkan ibu kandungnya sendiri dan berpakaian seksi. Selain itu, dia juga melakonkan babak tidak berpuasa dan minum minuman keras pada bulan ramadan. Watak sedemikian tidak wajar dilakonkan oleh seorang wanita Muslim dan ini tidak perlu ditayangkan di dalam skrin layar. Hal ini kerana akan mempengaruhi golongan muda untuk mencuba melakukan perkara yang mereka tidak pernah lakukan seperti minum minuman keras dan berpakaian seksi. Seterusnya, watak Datuk Halimatun juga tidak perlu diberikan watak sedemikian kerana telah menonjolkan watak seorang ibu yang benci akan anaknya kerana anaknya telah berkahwin dengan seorang lelaki yang tidak sedarjat atau sekufu dengannya sehingga tidak mengakui Marlia sebagai anak kandungnya lagi. Watak seorang ibu yang perlu ditonjolkan kepada masyarakat ialah seorang ibu yang sangat menyayangi anaknya walaupun berkahwin dengan seorang lelaki yang tidak sekufu. Seorang ibu sepatutnya menerima segala apa-apa keburukan dan kekurangan yang dimiliki oleh seorang anak kandungnya itu.

    Oleh itu, seorang pengarah drama yang hebat perlulah menonjolkan watak dan perwatakan yang baik dari segi akhlak untuk ditonjolkan kepada khalayak umum. Hal ini kerana watak dan perwatakan yang baik akan mempengaruhi dan memberi kesan yang positif kepada khalayak umum ketika menonton drama ini.

BBK3410: PENGLAHIRAN BAKAT KREATIF

     Dunia sastera ialah bidang yang tidak asing lagi dalam masyarakat kita. Bidang sastera mengajar kita erti bagaimana penghasilan sebuah ...