Sunday, January 14, 2024

KRITIKAN FILEM PENUNGGANG AGAMA 2

    Penunggang Agama 2 merupakan sebuah filem seram dan ngeri Malaysia yang dilancarkan pada tahun 2021. Filem ini merupakan arahan daripada Syafiq Yusof yang merupakan anak kepada pelakon dan pengarah popular Malaysia, iaitu Datuk Yusof Haslam. Filem ini merupakan kesinambungan daripada filem pertama, iaitu Penunggang Agama. Filem ini mendapat sambutan daripada penonton dan terhasilnya filem kedua, iaitu Penunggang Agama 2. Filem ini menceritakan tentang kisah Ustaz Amir dan Anna yang diganggu oleh Huda akibat dendam lama. Watak Ustaz Amir dilakonkan oleh Zul Ariffin manakala watak Anna dilakonkan oleh Azira Shafinaz. Selain itu, watak Huda dilakonkan oleh Salina Saibi. Dalam penceritaan filem ini, seorang anak murid Anna bernama Anim hilang secara tiba-tiba dan menyebabkan kedua ibu bapanya meminta bantuan Ustaz Amir dan Anna untuk mencari anak mereka. Ustaz Amir pula merupakan seorang ustaz yang obses dengan merawat penyakit dan gangguan makhluk halus kerana mendapat jumlah wang yang sangat lumayan. Kehebatan Ustaz Amir dalam merawat pesakit menjadikannya popular di dalam media sosial dan membuatkannya semakin selesa dengan gelaran ustaz. Dia mengubah penampilannya dengan sentiasa mengenakan jubah putih dan bersongkok untuk masyarakat melihatnya sebagai seorang ustaz yang berwibawa dalam merawat pesakit.

    Namun, penampilan ustaz yang dilakonkan oleh watak Ustaz Amir adalah sangat tidak sesuai untuk memberikan gambaran kepada ustaz-ustaz yang ikhlas menolong dan merawat pesakit yang terkena gangguan makhluk halus di luar sana. Hal ini kerana akan menampakkan penampilan ustaz sebagai watak buruk dan memberi kesan kepada agama Islam. Selain itu, perwatakan yang dibawa oleh watak Ustaz Amir juga menonjolkan perwatakan yang mempunyai sifat cemburu ketika kehadiran seorang paderi bernama Father Michael yang turut sama mencari Anim yang hilang itu. Perwatakan seorang ustaz sepatutnya ditonjolkan dengan sifat-sifat murni dan mahmudah, bukannya sifat iri hati dan jelek. Hal ini akan memberi kesan kepada penonton apabila watak ustaz yang sepatutnya dilakonkan dengan watak sempurna, namun di dalam filem ini watak ustaz direndah-rendahkan martabatnya.

    Oleh itu, seorang pengarah filem perlu membuat perancangan dan diskusi bersama ahli-ahli pembuatan filem ini untuk memberikan satu perwatakan yang baik kepada watak seorang ustaz. Watak seorang ustaz perlu memberi gambaran dan imej yang mulia seperti akhlak yang baik, tidak mementingkan keduniawi, merendah diri walaupun mempunyai kehebatan dan tidak iri hati kepada sesiapa pun. Dengan berbuat demikian, gambaran umat Islam dan agama Islam tidak akan tercemar dengan perwatakan yang dilakonkan itu.

No comments:

Post a Comment

BBK3410: PENGLAHIRAN BAKAT KREATIF

     Dunia sastera ialah bidang yang tidak asing lagi dalam masyarakat kita. Bidang sastera mengajar kita erti bagaimana penghasilan sebuah ...